Thursday, July 23, 2009

..:: 15 Tanda Kematian Mulia ::..

Salam buat sahabat pembaca.. Mari kita renungkan bersama dan bermuhasabah bagaimana cara kita untuk mendapat pengakhiran kehidupan yang baik..Sedarlah kematian seseorang tidak dapat diketahui oleh sesiapa pun kecuali Allah taala..Tidak cepat walau seminit dan tidak lambat walau seminit.. Dengan itu marilah kita mempertingkatkan diri dengan amal ibadat sebanyak yang mungkin untuk bekalan di akhirat kelak.. Mudah-mudahan kita mendapat pengakhiran hidup kita dengan husnul khatimah.. Amin..

Antara tanda mati husnul khatimah ialah:


1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga." (Hadis Riwayat Hakim)

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: "Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya." (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas'ud)

3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

"Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah taala menghindarkannya dari seksa kubur." (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mati syahid di dalam medan perang.

5. Mati dalam peperangan fisabilillah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?

Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah s.a.w yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.

Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit."

Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah s.a.w?"

Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut ( iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya ), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid."(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut:

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim." (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7. Mati kerana tenggelam.

8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah.

Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: "Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah." (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

10. Mati terbakar.

11. Mati kerana penyakit busung perut.

Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu': "Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid." (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)

12. Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC).

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid." (Hadis riwayat Thabrani)

13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. "Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa'i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

14. Mati dalam membela agama dan jiwa. "Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid."

15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur)."

16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah.

Friday, May 22, 2009

Perkembangan Ilmu Qiraat


Sepertimana yang kita sedia maklum setiap kali wahyu al-Quran diturunkan pasti dengan segera Rasulullah s.a.w menyampaikan dan mengajarkan kepada para sahabat tercinta. Walaupun begitu tidak semua yang dapat menguasai 7 huruf tersebut. Ada yang menerima satu huruf, sementara yang lain dengan huruf yang lain dan ada juga di antara mereka yang diajar dengan huruf yang banyak seperti Abdullah bin Mas’ud mengikut budi bicara Rasulullah s.a.w. Hal ini kerana matlamat atau tujuan sebenar permintaan baginda kepada Allah s.w.t untuk memudahkan ummat dalam membaca dan memahami kitabullah.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami telah memudahkan Al-Quran untuk peringatan, mengapa kamu tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya?"
Sebaik sahaja al-Quran sampai kepada para sahabat, mereka segera membaca dan mengulang ayat-ayat tersebut sehingga benar-benar terpahat dalam ingatan diiringi dengan suruhan yang telah diperintahkan tanpa berlengah lagi dan menungu-nungu wahyu yang seterusnya.
Di sebabkan para sahabat tidak menerima semua qiraat daripada baginda maka pernah terjadi perselisihan dikalangan mereka yang mana masing-masing mendakwa bacaan mereka adalah bacaan Rasulullah s.a.w sepertimana kisah yang pernah dialami oleh Saidina Umar dengan Hisyam bin Hakim di dalam solat.
Kisahnya seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, pada suatu hari Hisyam telah mengimami solat yang turut ada di dalamnya Saidina Umar dengan membaca surah al-Furqan dengan bacaan yang pelbagai. Tatkala Saidina Umar mendengar bacaan tersebut beliau hampir sahaja menarik Hisyam keluar dari solat kerana tidak pernah mendengar Rasullah s.a.w membaca dengan bacaan yang dibaca oleh Hisyam tadi. Bilamana Saidina Umar menanyakan dari siapa Hisyam mendapatkan bacaan tadi sudah tentu ia dari Rasulullah s.a.w! Disebabkan rasa tidak puas hati dan kebimbangan dengan penyelewangan ayat suci maka berjumpalah mereka menghadap baginda s.a.w untuk menuntut kepastian dan Rasulullah s.a.w telah membenarkan bacaan Saidina Umar dan Hisyam.
Begitulah sifat sahabat yang amat teliti dan sensitif dengan apa yang dibawa oleh baginda bukan kerana kepentingan diri tapi dalam memelihara kitab suci dan agama Allah s.w.t.
Sehinggalah pada zaman Saidina Abu Bakar al-Quran masih lagi dihafaz dan terpelihara kukuh di dada para sahabat. Namun apabila berlaku peperangan Riddah yang memerangi golongan murtad maka ramailah para sabahat yang yang gugur syahid. Kebimbangan melanda umat Islam bilamana syuhada’ adalah majoriti penghafaz al-Quran! Lalu Saidina Umar mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar supaya al-Quran disalin dan dikumpulkan. Walaupun berat untuk dilaksanakan kerana tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah s.a.w, dengan petunjuk dan hidayah Allah s.w.t dan komitmen para sahabat kerana bimbang al-Quran akan lenyap, maka Ia pun terlaksana.
Setelah wafatnya Saidina Abu Bakar, tampuk pemerintahan dipegang oleh Saidina Umar dan al-Quran yang telah dibukukan tersebut diserahkan kepada beliau untuk memeliharanya sebagai rujukan dan panduan umat Islam seterusnya berpindah ke tangan Saidatina Hafsah isteri baginda s.a.w yg juga merupakan puteri Saidina Umar.
Islam semakin berkembang dan meluas….dari sehari ke sehari semakin ramai yang memeluk agama Islam berkat kegigihan sahabat dan tabiin dalam menegakkan kalimah Allah s.w.t di muka bumi ini. Maka, ramailah orang yang bukan dari bangsa arab yang membaca al-Quran. Oleh kerana al-Quran pada masa itu masih lagi tidak ada baris dan titik seperti yang ada pada hari ini maka ia amat sukar sekali untuk dibaca sehingga banyaklah berlaku perselisihan dalam bacaan.
Suatu hari dalam pemerintahan Saidina Uthman ketika berlakunya peperangan di Yarmuk perselisihan semakin menjadi-jadi di antara umat Islam yang menyertai peperangan dan hampir berbunuh-bunuhan. Lalu saidina Uthman mengambil inisiatif untuk menyalin al-Quran dalam beberapa mashaf dan dibariskan untuk memudahkan membacanya. Mashaf-mashaf tersebut dihantar ke negara-negara Islam dengan qiraat yang mudah dan bersesuaian dengan negara tersebut bersama wakil dari sahabat untuk memberi tunjuk ajar.
Setelah itu, agama Islam semakin pesat dan keilmuan dan penemuan Islam semakin berkembang maka lahir satu golongan yang mengkaji dan meneliti al-quran, yang menyusun dan meriwayatkan ilmu qiraat dengan lebih teliti yang dikenali sebagai Qurra’.
Merekalah yang menyusun kaedah dalam ilmu Qiraat demi memudahkan generasi yang akan datang agar tidak timbul sebarang perselisihan yang besar dalam membaca al-Quran. Juga supaya matlamat dan impian Rasulullah s.a.w terhadap umatnya agar sentiasa membaca dan mengamalkan al-Quran terlaksana.
Benarlah janji Allah s.w.t yang akan memelihara al-Quran hingga sampai kepada kita pada hari ini tanpa sebarang pengubahan dan penyelewangan dan akan terus terpelihara…Demikianlah Allah s.w.t merakamkan melalui firmanNya yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang akan memeliharanya."
Janji Allah s.w.t tidak ada siapa yang dapat mengubahnya walaupun orang-orang yang memusuhi Islam cuba untuk melakukan pelbagai penyelewengan, mentafsir mengikut kemahuan sesuka hati.
Mengenangkan pemeliharaan Allah s.w.t melalui apa yang dilakukan oleh para sahabat amat terharu dengan kegigihan mereka dalam memelihara ayat-ayat suci ini. Semuanya adalah untuk kita ada hari ini kerana bimbang kita tidak tahu, tidak pandai, keliru dan tidak memahami al-Quran! Tapi….apa yang kita lakukan? Tepuk dada tanyalah iman…mudah-mudahan kita juga dapat meneruskan kesinambungan ini . Wallahu a’lam

Saturday, May 16, 2009

Buat Pendidik Yang Banyak Berjasa.... Selamat Hari Guru



Pertamanya... Jutaan terima kasih buat abah dan ummi kerana merekalah menjadi guru yang pertama dalam hidupku... Segala didikan dan pengorbananmu amatku hargai sehingga akhir hayatku...

Dan buat guru-guruku yang mengajar sejak tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, pengajian tinggi dan semua guru yang mengajarku samada dalam bentuk formal ataupun tidak formal... Terima kasih atas segala usaha, tunjuk ajar dan nasihat yang telah kalian berikan padaku..... Segala jasa kalian akan ku kenang hingga akhir hayat...

Subhanallah...... Besarnya pengorbananmu guru... Mendidik, mengajar kami tanpa rasa penat serta jemu.... Peritmu melayan puluhan, ratusan malah ribuan kerenah anak didikmu.. Namun begitu, kau tetap terus bersemangat, gagah, cekal dalam mendidik kami.... Menjadikan kami sebagai orang yang berilmu... Terima kasih kami ucapkan..

Alhamdulillah..... Dengan segala ilmu yang kamu berikan... Nah sekarang lihatlah!!! Betapa ramai ulama', ilmuwan, korporat, usahawan dan ramai lagi yang disegani hasil didikan dan asuhan yang diberikan olehmu... Sekali lagi kami mengucapkan terima kasih buatmu insan yang bergelar guru......

Allahu Akbar..... Betapa besarnya nikmat dan anugerah yang Allah s.w.t berikan kepadamu untuk mengajar dan mendidik sehingga anak didikmu menjadi orang yang berguna... Alangkah beruntungnya kamu wahai guru.... Kami doakan semoga segala usahamu mendapat ganjaran dari Allah s.w.t setimpal dengan apa yang kamu telah lakukan... Dan terima kasih sekali lagi yang tidak terhingga buatmu guru atas segala ilmu yang diberikan pada kami.... Selamat Hari Guru....

Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu Ummi....Dirimu Sentiasa Bertakhta Di Hati..




Dunia mengisytiharkan 10 Mei setiap tahun merupakan Hari Ibu bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang diberikan oleh insan yang bergelar ibu, ummi, mama, mak dan sebaris dengannya...Maka setiap insan yang bergelar anak akan meraikan ibu mereka dengan pelbagai bentuk sambutan..Ada yang belanja makan, bagi hadiah, telefon, sms dan sebagainya.. Adakah hanya kerana sambutan Hari Ibu barulah anak-anak berebut meraikannya??Cukupkah sehari untuk kita mengenang segala jasa dan pengorbanan mereka??

Bagi diriku setiap saat, jam, hari, minggu, bulan, tahun dan setiap hari yang ku lalui adalah hari untukmu ibu... Besarnya pengorbanan mereka tidak boleh diterjemahkan dalam satu hari.... Pengalaman menyambut kelahiran anak sulung, membuatkan aku lebih mengerti betapa peritnya seorang ibu melahirkan seorang bayi.. Tempoh yang dilalui ketika mengandung sudah memakan masa 9 bulan... Kasih dan sayangmu ibu tidak mampu ku gambarkan...Hebatnya insan yang bergelar ibu ini... Walau perit, walau sakit yang menyelubungi diri tapi mampu lagi tersenyum buat kita... Adakah kita sehebat mereka???


Ummi... Anakmu ingin mengucapkan selamat Hari Ibu...Segala jasa dan pengorbananmu ku sentiasa kenangi sehingga akhir hayatku... Setiap apa yang ku berikan tidak mampu untuk membalas jasa dan pengorbananmu... Meskipun begitu, diriku kan cuba membalas jasa mu sehingga hembusan terakhir...Ku berdoa dan terus berdoa agar dirimu dilindungi oleh Rahmat dan Kasih Sayang dari Ilahi... Semoga Allah taala memberi ganjaran yang setimpal dengan jasa dan pengorbananmu...

Abah dan ummi serta mertuaku... Kami sekeluarga doakan semoga kalian dipanjangkan umur, murah rezeki, mendapat Rahmat dan Kasih sayang dari Ilahi... Segala jasa dan pengorbanan yang di berikan sehingga kami hidup bahagia kini, kami sentiasa kenang sehingga akhir hayat kami..

Buat ibu-ibu... Kalian adalah insan yang hebat.. Membesarkan kami tanpa sebarang keluhan malah dengan rasa gembira... Terima kasih kami ucapkan.... Dirimu amat hebat....

Selamat Hari Ibu.... Dari kami anak-anak yang mengharap kasih sayang ibu...